Penjana Nama DJ

Jana nama DJ yang menarik dengan menggunakan Penjana Nama DJ kami hari ini! Tanpa bayaran serta pendaftaran!

1. Pilih kata kunci nama DJ anda

Kenal pasti persona anda sebagai DJ untuk dijadikan sebagai kata kunci yang akan dijana sebagai idea nama DJ

2. Dapatkan idea Nama Dj anda

Pilih Nama DJ yang berkenan di hati atau kecilkan pilihan idea nama yang ada dengan menetapkan kriteria tetapan nama

3. Pilih Nama DJ anda

Anda boleh menyemak ketersediaan domain bagi nama DJ yang anda ingin gunakan sekali gus di laman hasil janaan

Adakah anda ingin mulakan kerjaya sebagai DJ? Tidak kira di saluran radio atau kelab malam?

Artikel ini akan membantu anda mendapatkan nama DJ yang bagus dan lebih mudah dikenali.

Di bawah ini juga terdapat panduan menggunakan penjana nama DJ selain daripada faktor-faktor penting yang perlu dipertimbangkan dalam memilih nama DJ.

Kerjaya DJ: Gambaran Ringkas

Secara umumnya di Malaysia, seorang DJ atau Disc Jockey boleh merujuk kepada beberapa jenis;

Juruhebah atau penyampai radio juga dipanggil seorang DJ oleh pendengar dan kebanyakan rakyat Malaysia.

Mereka bertugas mengikut slot atau segmen di radio tempatan contohnya seperti BFM 89.9, Radio Klasik, Hitz.fm dan banyak lagi.

Antara personaliti dengan nama-nama besar dalam dunia penyiaran radio adalah FlyGuy, Ean, Andy Hakim dan ramai lagi.

Satu lagi segmen kerjaya penyampai lagu adalah seorang DJ di kelab malam, majlis parti mahupun festival muzik tertentu. 

Artikel ini tidak menyentuh aspek teknikal bagaimana menjadi seorang dj yang bagus; sama ada daripada segi kemahiran teknikal atau kebolehan memilih lagu.

Namun, ada satu lagi perkara asas yang perlu ada sebelum anda menjual bakat anda; bagaimana jenama anda sebagai seorang DJ dikenali oleh orang ramai?

Idea untuk Nama DJ

Sama seperti mana-mana jenama, nama adalah cara pertama untuk orang mengenali anda.

Asas memilih nama untuk DJ bukanlah seperti kriteria sesebuah jenama yang seakan menjadi senarai ‘fardu’ seperti mudah, senang dieja dan sebagainya.

Sebaliknya, anda mempunyai kelonggaran yang sangat besar dalam memilih nama DJ.

Anda boleh menjadi kreatif dalam ejaan, menggunakan simbol atau nombor menggantikan huruf dan banyak lagi.

Namun, memilih nama tidak semudah yang disangka. 

Walaupun idea dan cara boleh datang dalam pelbagai cara, terdapat risiko kesilapan rookie dalam memilih nama DJ yang bagus.

Nama yang digunakan adalah sebagai suatu jenama yang akan ditunggang selagi anda berkarya sebagai seorang DJ. 

Gunakan nama sendiri

Ramai DJ menggunakan nama sendiri sebagai nama profesional di dalam kerjaya mereka.

Antara personaliti DJ radio tempatan yang menggunakan nama sebenar ialah; Andy Hakim, Aishah (Mix fm), Arnold dan Ean (Hitz).

Bagi DJ kelab pula, DJ Yeng Lein menggunakan nama sebenarnya dari awal sehingga menjadi salah satu DJ terkenal di peringkat global.

Nama-nama seperti David Guetta, Armin Van Burren, Steve Aoki boleh terus berbangga apabila nama sebenar mereka diseru oleh peminat di serata dunia.

Jika anda melihat senarai DJ teratas di dunia, separuh daripada mereka menggunakan nama sendiri. Mengapa?

Nama sendiri lebih mudah dan memberi satu perasaan original dan peribadi kepada peminat mereka.

Ada juga dalam kalangan mereka yang memendekkan lagi nama asal mereka menjadi satu perkataan/nama sahaja.

Sebagai contoh, nama Vinal Kuma mungkin tidak begitu dikenali orang ramai, tetapi DJ Kuma merupakan antara DJ yang sering beraksi di kelab dan festival muzik di rantau Asia Tenggara.

Apakah masalah yang mungkin dihadapi jika memilih nama sendiri?

Jika nama sebenar anda adalah nama yang lazim dimiliki, anda mungkin menghadapi masalah.

Jika anda memilih hanya menggunakan nama Eric, John atau pun Zul sahaja, nama anda tidak begitu unik untuk sesebuah nama DJ kerana terlalu kerap digunakan.

Oleh kerana nama dipilih adalah nama yang biasa didengari (walaupun itu nama sebenar anda, dan tiada apa yang salah!), agak sukar mencari anda di enjin carian seperti Google.

Ini boleh memberi kerugian dari segi perjalanan karier, pemasaran atau keterlihatan di dalam dunia digital.

Singkatan

Jika anda mempunyai pilihan nama untuk nama DJ tetapi agak panjang, cuba singkatkan.

Inilah dilakukan oleh B.A.T.E, DJ yang terdiri dari dua orang ini menggunakan singkatan nama bekas kumpulan muzik mereka, Brains and The Eye.

Pendekatan mengambil nama singkatan ini agak lazim dalam arena DJ sama ada di Malaysia atau dunia.

Selain daripada mudah diingat, nama singkatan seakan menyuntik elemen misteri kepada peminat atau pendengar.

Anda juga boleh serlahkan unsur kreativiti dalam diri anda dengan dengan mengeluarkan huruf vokal dalam sesuatu perkataan untuk menjadi lebih unik.

Tidak kira perkataan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, cara ini boleh diguna pakai untuk menyerlahkan nama anda bersama bakat muzik yang anda sajikan.

Memberi penghormatan kepada ayahnya yang berasal dari Kashmir yang berhijrah ke Amerika Syarikat, Niles Hollowell-Dhar memilih untuk menggunakan nama DJ KSHMR.

Contoh lain adalah STNDRD, trio DJ yang berasal dari New Zealand.

Gunakan Penjana Nama DJ

Sekiranya anda ingin mendapatkan idea yang lebih meluas dan inspirasi yang mungkin datang dari luar kotak, gunakan Penjana nama DJ.

Penjana nama DJ kami dapat menjana beribu-ribu nama berpandukan kata kunci yang berkaitan dengan nama yang ada inginkan.

Selain nama DJ yang dijana secara automatik, anda juga boleh menjimatkan masa dengan menyemak ketersediaan domain bagi nama tersebut.

Dengan mengetahui ketersediaan domain secara serta-merta, anda bukan sahaja boleh mendapat idea, malah anda juga boleh membuat perancangan tentang pemasaran domain laman web untuk nama DJ anda.

Tidak salah untuk mencuba Penjana nama DJ kerana perkhidmatan ini tersedia secara percuma. 

Mungkin Penjana Nama DJ ini boleh memberi sentuhan kreativiti yang begitu diperlukan ketika mencari nama DJ yang bagus dan menarik.

Bagaimanakah Cara Menggunakan Penjana Nama DJ

Sebelum ini, kami telah terangkan apa itu penjana nama DJ.

Kali ini, kami akan terangkan cara menggunakannya kerana mungkin ada dalam kalangan anda yang baru terfikir cara sebegini.

Penjana nama mempunyai algoritma yang menghasilkan nama janaan yang unik dan kreatif.

1. Pilih bahasa

Penjana nama tersedia dalam lebih daripada 10 jenis bahasa. 

Jika anda inginkan nama dalam Bahasa Melayu, sila pilih tetapan bahasa di bahagian atas di halaman utama.

2. Masukkan kata kunci di ruangan carian

Seperti yang diterangkan sebelum ini, anda perlu mempunyai kata kunci untuk nama DJ anda.

Kini, hanya perlu masukkan senarai kata kunci yang relevan.

Anda boleh masukkan seberapa banyak kata kunci sekaligus. Anda boleh simpan nama yang dijana yang anda rasakan sesuai untuk senarai anda.

3. Pilihan tambahan 

Selain daripada kata kunci, terdapat pilihan tambahan yang boleh membantu anda mendapatkan nama yang lebih kreatif.

Anda boleh tentukan bilangan aksara, posisi kata kunci dan juga jika anda inginkan alterasi berima.

4. Semak domain serta-merta

Satu lagi kelebihan menggunakan penjana yang mungkin tidak diketahui pengguna adalah, anda boleh menyemak ketersediaan domain nama yang telah dijana.

Selepas menekan butang “Jana” atau “Generate” pada ruangan carian, beratus-ratus nama akan dipaparkan.

Jika anda klik pada nama yang dijana, akan keluar ketersediaan domain untuk nama tersebut.

Penjana Nama DJ: 20 Idea Nama

Dengan memasukkan beberapa kata kunci dalam penjana nama, berikut adalah senarai nama panjang DJ.

  • Cookie DJ
  • Opulent Stylez
  • Lucent Beat
  • Stella Style
  • Frost Buzz
  • Beatscape
  • Faille Beat
  • Clio Style
  • Styleoryx
  • Beatify
  • Energetomatic
  • Buzzopolis
  • Style Scarlet
  • Bodhi Beat
  • Buddy Joget
  • Dip Duo
  • Elysium Energetic
  • Druid Duo
  • Cerberus Crowd
  • Raider Rancak

Apa yang lebih menarik tentang penjana nama DJ adalah, anda boleh masukkan apa sahaja perkataan yang anda rasa relevan dan menggambarkan personaliti anda.

Penjana nama DJ juga menawarkan pilihan tambahan sama ada anda inginkan satu atau dua perkataan atau pun posisi kata kunci diletakkan di hadapan atau di belakang.

Selain itu, anda juga boleh mengehadkan bilangan aksara untuk hasil nama yang dijanakan.

Melalui pilihan tambahan tersebut, anda akan mendapat senarai panjang nama-nama yang relevan dengan industri DJ, perwatakan atau alter ego nama DJ yang anda impikan.

Apa yang Perlu Dielakkan untuk Nama DJ?

Perkauman dan prejudis

Dua perkara ini memang mengundang kontroversi jika digunakan sebagai nama DJ.

Nama yang bersifat perkauman atau prejudis kepada sesuatu golongan boleh menjejaskan reputasi anda sebagai seorang DJ profesional.

Sebagai contoh, ketika di awal kemunculan, Moslem Priest mendapat perhatian kerana namanya yang unik, dan pada masa yang sama mengundang kecaman.

Walaupun nama tersebut mempunyai kisah yang menarik, terdapat kritikan berkenaan sensitiviti nama tersebut; lebih-lebih lagi di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama. 

Di peringkat global pula, Marea Stemper terpaksa menukar nama samaran The Black Madonna kepada The Blessed Madonna ekoran satu petisyen yang mendakwa terdapat elemen perkauman pada nama tersebut.

Nama yang merujuk kepada pemuzik lain

Tidak dinafikan anda mungkin mendapat inspirasi karier muzik anda daripada pemuzik yang telah bertapak lebih awal dalam industri seni ini.

Tidak salah jika anda ingin memberi penghormatan atau menghargai peranan serta pengaruh mereka sebagai pencetus minat atau sebagai ilham nukilan muzik anda.

Tetapi menggunakan nama pemuzik atau idola anda sebagai nama DJ bukan cara yang disarankan.

Isu perundangan mungkin timbul jika anda berjaya menempa nama dengan menggunakan nama tersebut.

Sebagai contoh, pada awal kemunculan, The Chemical Brothers menamakan diri mereka sebagai The Dust Brothers, sempena nama idola mereka.

Setelah album komersial pertama mereka mendapat sambutan hangat, secara tiba-tiba mereka telah mendapat sekeping surat pemberhentian (cease and desist) daripada idola mereka sendiri untuk tidak menggunakan lagi nama tersebut.

Nama yang terlalu generik (umum)

Katakan anda ingin tonjolkan elemen muzik elektronik kepada peminat anda.

Jadi anda ingin dikenali sebagai DJ Beat.

Dari segi teknikal, nama ini menunjukkan anda seorang DJ yang mempunyai kemahiran menggubah beat atau tempo dalam susunan muzik.

Tetapi, perkataan beat itu bersifat terlalu generik. Malah, perkataan itu sendiri mempunyai pelbagai maksud lain dalam Bahasa Inggeris.

Jika anda masukkan perkataan DJ Beat di dalam enjin carian, anda terpaksa bersaing dengan beribu kata kunci yang sama, yang sememangnya dicari oleh pengguna internet yang lebih besar.

Apa yang perlu dibuat?

Anda perlu tambahkan perkataan lain (mengikut kesesuaian dan cita rasa sendiri) untuk mengelakkan perkataan asal kedengaran terlalu umum.

Terlalu spesifik dengan aliran muzik ‘

Sebagai seorang DJ, anda boleh fokus satu aliran muzik untuk dikenali dalam kalangan peminat anda.

Sebagai contoh, katakan anda sangat meminati muzik tekno atau techno.

Kemudian, anda inginkan nama DJ Supreme Techno sebagai nama pentas. 

Setelah beberapa lama, anda rasakan anda perlu beralih ke aliran muzik lain untuk mengembangkan karier.

Perubahan aliran muzik ini mungkin memberi kesan kepada nama anda.

Anda mungkin terpaksa menjelaskan mengapa nama DJ anda tidak sama dengan muzik yang dibawa setiap kali ditanya wartawan atau peminat.

Bagaimana Menamakan Nama DJ anda?

Ketersediaan nama

Jika anda sudah ada idea nama, anda perlu pastikan nama tersebut tersedia untuk dimiliki.

Anda juga perlu pastikan nama untuk DJ tersebut asli dan tidak pernah digunakan di mana-mana.

Lakukan semakan di platform media sosial dan carian internet untuk membolehkan anda mendaftar nama tersebut di media sosial dan seterusnya membina ‘jenama’ anda sendiri.

Semakan di platform media sosial mungkin memakan masa jika dilakukan secara manual.

Anda mungkin terlepas pandang nama yang anda pilih telah pun digunakan. 

Jangan risau, anda boleh menggunakan perkhidmatan namechck yang akan membuat semakan di media sosial sama ada nama tersebut sudah digunakan atau sebaliknya.

Untuk mendapatkan carian lebih mendalam, anda boleh lakukan carian tanda dagang di MyIPO jika anda ingin mendapatkan tanda dagang nama DJ anda.

Semak bahasa dan ejaan

Kadang kala, anda mungkin memilih nama dalam bahasa asing selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Pastikan anda semak maksud perkataan yang anda gunakan itu. 

Atau, anda boleh gunakan cara paling mudah dan pantas, iaitu melalui Google Translate untuk ketahui sama ada nama tersebut membawa maksud yang negatif dalam bahasa lain.

Semakan ejaan tidak hanya bermaksud ejaan itu betul daripada segi hukum tatabahasa.

Di sinilah bakat kreativiti anda boleh digunakan sepenuhnya.

Untuk jadikan nama DJ lebih menarik, anda boleh mengubah ejaan menjadi lebih kreatif.

DJ Arabyrd dari Malaysia menggunakan gabungan nama sebenarnya “Arafah” dan “bird”. Tetapi ejaan pada huruf ‘i” ditukar kepada “y” untuk tampak lebih menarik.

Antara DJ lain yang menggunakan teknik ubahan ejaan adalah R3hab dan Marshmello.

Gunakan bahan rujukan

Jika anda ketandusan idea, gunakan bahan rujukan lain untuk mendapatkan inspirasi.

DJ Mag adalah contoh terbaik untuk melihat senarai nama DJ dalam skala yang lebih besar.

Anda boleh menganalisis nama-nama sedia ada untuk semak ketersediaan atau sebagai inspirasi bagaimana nama mereka dicipta.

Selain itu, sebagai permulaan anda boleh melakukan carian internet untuk melihat senarai DJ tempatan yang sudah bertapak di industri yang sama.

Cipta sendiri nama DJ

Nampak seperti mudah. 

Tetapi mencipta nama DJ yang menarik dan bagus memerlukan kreativiti yang lebih dan juga sedikit tuah dalam mendapatkan ilham.

DJ Skrillex adalah nama yang direka sendiri oleh pemiliknya.

Walaupun nama ini hanyalah satu ciptaan, nama ini mudah disebut, diingat dan difahami.

Nama ini menjamin keunikan di dalam aliran muzik tersendiri dan mengelakkan peminat atau pendengar keliru dengan nama-nama DJ yang lain.

Jika anda memilih untuk mencipta perkataan sendiri, pastikan perkataan tersebut tidak terlalu sukar dieja dan disebut sehingga mengelirukan pendengar. 

Dalam mencari keunikan tersendiri, anda perlu sentiasa beringat bahawa nama yang dicipta sentiasa berkait dengan pemasaran.

Semakin sukar nama anda diingati peminat, semakin sukar nama tersebut hendak dipasarkan dalam industri yang sedia ada kompetitif.

Maklum balas 

Jangan sesekali memandang remeh maklum balas rakan sekeliling, mereka yang terlibat dalam industri atau khalayak umum.

Jika anda sudah mencipta nama atau menggunakan penjana nama DJ, anda perlu dapatkan maklum balas daripada pihak ketiga.

Dapatkan perspektif berbeza daripada mereka tentang:

  1. Sama ada nama DJ itu sedap didengar atau kelihatan mengarut tanpa memberi apa-apa makna;
  2. Adakah nama DJ itu mudah diingati daripada segi ejaan atau sebutan?; 
  3. Adakah nama tersebut benar-benar unik atau mereka pernah mendengar nama tersebut digunakan untuk jenama atau syarikat lain? dan
  4. Adakah terdapat kebarangkalian nama tersebut menyinggung mana-mana pihak?

Jika maklum balas yang anda perolehi menjurus ke arah negatif atau nampak seperti boleh menimbulkan isu pada masa akan datang, gunakan nama yang lain.

Jadi, apakah nama DJ yang bagus?

Dalam memilih nama untuk sesebuah jenama, sangat disarankan untuk memilih nama yang pendek, mudah dieja dan diingati.

Terdapat kajian menunjukkan nama yang mudah diingati dan disebut lebih memberi gambaran positif kepada pengguna berbanding nama yang sukar dieja dan disebut atau terlalu panjang.

Walaupun skop kajian tersebut terpakai untuk aspek pemasaran jenama, formula yang sama boleh digunakan sebagai panduan memilih nama DJ.

Oleh itu, tidak salah mencari kelainan dan keunikan tersendiri pada nama DJ anda.

Nama itu sendiri terpulang pada penilai atau orang yang mendengarnya. 

Namun, cuba dapatkan inspirasi untuk nama yang mudah disebut dan mudah melekat atau diingat oleh pendengar.

Dalam industri DJ yang sangat kompetitif ini, anda perlukan pemasaran yang cekap dan pantas; peminat atau pendengar perlu mudah mengingati nama anda apabila pertama kali mendengarnya.

Lupakan sejenak pemasaran digital atau komersial yang lain.

Cuba fikirkan logiknya, jika pendengar dapat mengingati nama anda dengan mudah dan tertarik dengan kualiti muzik anda, mereka sendiri akan menyampaikan kepada rakan-rakan mereka. 

Jadikan nama DJ anda halwa muzik di telinga pendengar. 

Daripada penyampai tradisional mulut ke mulut, mereka semestinya akan cuba menjejaki anda di dalam dunia digital dan membeli produk muzik anda.

Soalan Lazim

Pertimbangkan aliran muzik yang anda mainkan, personaliti dan juga gaya anda. Nama DJ yang anda pilih mungkin menggambarkan personaliti atau alter ego anda di atas pentas.

Semua nama yang dijana menggunakan penjana nama DJ adalah percuma. Namun, untuk jangka masa panjang, anda disarankan untuk mendapatkan tanda dagang dari MyIPO.

Anda boleh masukkan seberapa banyak kata kunci dan penjana nama DJ boleh menjana beribu-ribu nama untuk anda. Cara terbaik adalah dengan membuat satu senarai panjang nama yang sesuai, kemudian lakukan analisis dan buat satu senarai pendek akhir untuk memudahkan pilihan.

Penulis

Hafizie Zack

Hafizie Zack

Peguam korporat dan seorang penulis dwibahasa untuk material perundangan, teknologi & kreatif. Berpengalaman selama sepuluh tahun di dalam penulisan. Teruja dengan idea meneroka rahsia di sebalik nama bisnes, seperti sebuah anagram yang hanya mampu diselesaikan oleh Indiana Jones.

Tunjukkan semua siaran sebelumnya

We use cookies to offer you our service. By using this site, you agree to our: Lihat dasar kuki